Tuesday, 23 November 2010

Jakarta - Bahagian 5



Hari kelima

6 Oktober 2010.


Kami tidur 1 malam di Bandung.
Untunglah kami tidak perlu menyewa hotel.
Kami tumpang bermalam di rumah persinggahan
milik keluarga Tante Eti (isteri Om Toko, juga adik ibu mertua saya).

Rumah itu amat mengagumkan saya.
Sangat cantik dan kemas.
Tuan punya rumah itu sudah berpindah ke Jakarta
namun rumah yang ditinggalkan itu tidak disia-siakan.
Ada penjaga yang diupahkan untuk mengemaskan rumah tersebut.

Kami sempat bergambar kenang-kenangan sebelum bertolak kembali ke Depok.








Macam pengantin baru tak? hehe..
Teddy Jr. masih lena lagi di bilik ketika kami sibuk berposing di kawasan rumah itu.


Gambar kami sekeluarga 
(Teddy Jr. tiada dalam gambar)

Dari kiri : Om Toko, Om Bambang, saya, Tante Eti, mama, ibu dan Teddy.


Sebelum bertolak pulang, 
kami sempat bergambar lagi di hadapan rumah persinggahan itu bersama Teddy Jr. dan mama.



Kami bertolak pulang ke Depok.
Perjalanan yang meletihkan sekali lagi.

Di Depok (rumah Om Bambang), adik-beradik ibu mertua sudah menanti.
Mereka bertolak dari Solo menaiki bas,
menempuhi hampir 12 jam perjalanan ke Depok,
semata-mata ingin bertemu kami sekeluarga. 



Malam itu kami ke ITC Depok pula.
Berdepan sahaja dengan rumah Om Bambang.
Sangat-sangat murah barangan di sana.

Teddy sempat membeli beg untuk laptopnya.
Teddy Jr. ?
Tengoklah apa yang dia jumpa di sana..



Sepasang cermin mata berbingkai kuning dan seorang kawan baru.



...bersambung...

Monday, 22 November 2010

Jakarta - Bahagian 4



Hari keempat

5 Oktober 2010.


Tajuk kali ini patutnya saya tukar.
Lebih tepat.. Jakarta-Bandung.


Om Bambang sudi membawa kami sekeluarga berjalan-jalan di Bandung.
Sanggup mengambil cuti selama seminggu semata-mata menyambut kedatangan kami di sana.

Destinasi utama kami hari itu - Tangkuban Parahu.
..dan kalau sempat, membeli-belah di Bandung.
Semua orang kata Bandung adalah syurga bagi si kaki shopping.



Bergambar di hadapan rumah Om Bambang sebelum memulakan perjalanan.





Perjalanan ke Bandung dari Depok amat meletihkan.
Dengan keadaan jalan dan muka bumi yang tidak rata,
dan kenderaan yang melambung-lambung apabila dipacu laju merentasi jalan berbonggol..
ditambah lagi saya duduk di bahagian MPV paling belakang..
membuatkan saya berasa amat pening dan loya.
Mahu ke bilik air juga payah.
Bukannya ada banyak tempat rehat di tepi jalan.

Lain kali kalau mahu ke Bandung terus naik kapal terbang dari KL-Bandung.

.Serik.

Membuatkan saya benar-benar bersyukur tinggal di bumi kaya lagi bertuah, Malaysia.
Walaupun harga tolnya mahal,
..dan kadang-kala trafik sering sesak terutama di musim cuti / perayaan,
tapi tempat rehat RNR bersepah.
Jalannya juga licin dan cantik.

Walaupun perjalanan ke Bandung agak mencabar bagi ibu mengandung seperti saya,
namun pemandangan sekelilingnya begitu segar dan sejuk mata memandang.
Penuh gunung-ganang dan tumbuhan nan menghijau..
Kalaulah saya dapat tahan mata saya dari tidak tertutup sepanjang perjalanan..
(terpaksa tutup mata dan menahan diri dari termuntah dalam kereta)

Kami terus naik ke atas Tangkuban Parahu dahulu.
Sepanjang perjalanan ke atas banyak gerai-gerai menjual kelinci (arnab).
Ada sate kelinci.
Kami tidak singgah kerana mahu segera sampai ke atas.
Masih pening-pening lalat.

Ada kebun-kebun strawberi untuk dipetik sendiri.
Juga tidak singgah kerana di Cameron Highland, Malaysia juga banyak kebun seperti itu.

Akhirnya kami sampai di puncak Tangkuban Parahu..

..cantik..

Tidak sia-sia perjalanan yang meletihkan itu.
Pening saya sedikit demi sedikit beransur pulih dengan udara dingin dan segar di sana.
Cuma ada sedikit bau sulfur yang kurang menyenangkan.

Sekitar gambar-gambar di Tangkuban Parahu.












Sebelum turun ke kota Bandung,
singgah sebentar menikmati nasi Timbel.
Ayam bakarnya amat menyelerakan!!





Nasib kami agak kurang baik.
Sesampainya kami di Pasar Baru, Bandung..
Jam sudah hampir 5 petang.
Kecewa kerana kedai-kedai sudah banyak yang tutup.

Cuma dapat beli kain untuk kakak ipar,
dan Teddy dapat beli sehelai jaket motor dengan harga yang begitu murah.

Minta maaf,
kami tidak sempat menjengah Factory Outlet yang dikatakan popular di sana.
Kami tidak sempat membeli apa-apa cenderahati untuk mereka yang berkirim.

Nampak gayanya,
kami perlu terbang ke Bandung lagi lain kali.



..bersambung..














Saturday, 20 November 2010

Jakarta - Bahagian 3



Hari ketiga

4 Oktober 2010.



Kami keluar sekeluarga menaiki busway.
Destinasi utama kami hari itu - Pasar Tanah Abang.
Tidak sukar untuk sampai ke sana.
Hanya perlu menaiki busway dan turun di hentian (halte) Sarinah.

Sampai saja di hentian Sarinah,
kami perlu menaiki jejantas sebelah kiri
(bertentangan jalan dengan Pasaraya Sarinah)
dan mengambil teksi atau bas ke Pasar Tanah Abang.
Tambang teksi dalam lingkungan rp10 000.
Kami tersilap turun jejantas dan terpaksa membayar harga lebih (rp 15 000)
kerana teksi terpaksa melalui pusingan bulatan untuk berpatah balik.

Pasar Tanah Abang memang 1 pusat membeli-belah yang agak besar.
Ada 8 tingkat kalau tak silap saya.
Penuh dengan kedai menjual pelbagai barangan.

Mama dan Ibu mertua saya terus rambang mata memilih barangan untuk dibeli.
Memang murah dan terlalu banyak pilihan di sana.
Bukan senang untuk membeli-belah beramai-ramai ni.
Akhirnya saya, Teddy dan Teddy Jr. terduduk kepenatan di tangga,
menunggu ibu dan mama membeli-belah..

'Food court' atau medan selera terletak di tingkat paling atas.
Ibu memperkenalkan teh botol kepada kami.
1 minuman yang agak popular di sana.
Sedap juga rasanya.


Sekitar gambar-gambar di Pasar Tanah Abang.














Pulang dari sana dan sampai di rumah Tante Fatem dalam pukul 5 petang.


Malam,
Om Bambang (adik Ibu mertua saya) datang untuk mengambil kami.
Kami bertolak ke Depok, kediaman Om Bambang malam itu juga.



..bersambung..

Jakarta - Bahagian 2

Cik Diari..

Lamanya catatan perjalanan ni tertangguh.
Alasan biasa saya, sibuk.
Sibuk dengan perkara besar
yang bakal menjadi sejarah dalam hidup kami sekeluarga.

Sebelum saya lupa tentang percutian keluarga kami di Jakarta,
baik saya tulis serba sedikit di sini.
Teddy kata, kalau tak sempat tulis,
letak gambar saja.



Hari kedua 

3 Oktober 2010.


Tante Fatem mengajar kami cara menaiki Busway di Jakarta.
Satu bentuk pengangkutan utama di Jakarta.
Mirip kepada sistem LRT di Malaysia, cuma menggunakan bas dengan jalan yang dikhaskan.
Tidak ada masalah bagi saya kerana peta dan sistemnya mudah difahami.

Klik sini untuk info dan peta busway.

Keadaan trafik di Jakarta amat sesak.
Busway merupakan satu pilihan bijak
kerana tidak perlu menghadapi trafik yang sentiasa 'macet'.









Bergambar dengan Tante Fatem sebelum memulakan perjalanan.



Dari depan rumah Tante Fatem,
kami menunggu mikrolet, ataupun angkutan
yang berbentuk mini van,

Nota : untuk kawasan Mapang Tegalparang, kami perlu menaiki mikrolet bertanda Mampang 42. (M 42)

Harga bagi seorang, rp 2000.

Bersedia untuk duduk bersesak-sesak didalamnya.
Kalau hendak berhenti, ketuk saja bumbung mikrolet dan sebut "kiri".
(Maksudnya berhenti di bahu jalan sebelah kiri)


Gambar-gambar mikrolet





Mikrolet berhenti betul-betul di stesen busway Mampang Perapatan,
stesen terdekat dengan kawasan perumahan Tante Fatem.

Tiket busway bagi seorang, rp 3500.
Untungnya anda tidak perlu membayar tiket lagi jika mahu menukar laluan busway di stesen lain.


Destinasi kami hari itu - Manumen Nasional.

Dari stesen Mampang Perapatan,
kami menukar stesen di Dukuh Atas menaiki 'sky walk',
Terus ke Busway bertanda Stasion Kota dan berhenti di hentian Monumen Nasional.

Penumpang agak ramai dan sesak,
tetapi yang saya kagum..
mereka masih punya rasa 'kemanusiaan' dalam diri mereka.
Maksud saya.. orang tua, dan mereka yang mendukung kanak-kanak sentiasa diberi keutamaan.
Tidak seperti di sini dimana semua orang buat hal masing-masing dan buat-buat tidak nampak orang lain.

Tante Fatem, ibu mertua dan mama sentiasa dapat tempat duduk walau sesesak manapun keadaan busway.
Teddy atau saya yang mendukung Teddy Jr. juga selalu dipelawa untuk duduk,
tetapi Teddy Jr. lebih suka berdiri dan memegang pemegang pada bumbung bas.


Gambar-gambar busway








Di Monumen Nasional, Jakarta..










Hujan turun selebat-lebatnya petang itu.
Kami terkandas di sana sekurang-kurangnya 2 jam.
Tiada pilihan lain selain pulang kerana kami agak keletihan.



..bersambung..

Monday, 1 November 2010

Catatan Perjalanan - Jakarta (Bah. 1)

Hari pertama

2 Oktober 2010


Setelah hampir setahun menempah tiket perjalanan percuma Air Asia ke Jakarta,
Alhamdulillah sampai juga tarikh yang dinanti-nantikan..

Percutian kali ini kami bawa bersama mama dan ibu.
Ibu sudah hamppir 5-6 tahun tidak pulang menjengah kampung halaman.
Mama pula sudah lama teringin untuk bercuti ke Indonesia.
Jadi, apa salahnya bercuti beramai-ramai bersama keluarga kali ini.

Kami bertolak dari rumah dalam pukul 9 pagi.
Menuju ke LCCT, Sepang.


Sekitar gambar-gambar ketika menunggu penerbangan





Di dalam kapal terbang..
(penerbangan kedua Kimi)



Sampai sahaja di Lapangan Terbang Jakarta,
kami disambut oleh Tante Fatem sekeluarga.
Tante Fatem adalah kakak ipar ibu mertua saya.

Sepanjang perjalanan ke rumah tante Fatem di Mampang Tegalparang,
Keadaan trafik agak 'macet' (sesak)
Kami terkejut kerana diberitahu itu agak lengang dibandingkan dengan hari biasa.

Kami tiba di kediaman tante Fatem dalam pukul 5 petang (waktu Indonesia)
Kediaman yang pada saya cukup indah dan tenang.
Bercirikian kediaman Inggeris.
Mempunyai taman di tengah-tengah rumah.





Hari pertama kami habiskan dengan berkongsi cerita
maklumlah, kali pertama bersua muka dengan keluarga di sana.




..bersambung..
Related Posts with Thumbnails