Monday 12 April 2010

Hanya yang terbaik untuk bayi saya..


Amaran : Entry ini agak panjang dan membosankan.  Hehe..



Dah lama saya simpan cerita ini. Mungkin saya menunggu masa yang sesuai untuk meraikan kejayaan saya. Anak saya dah hampir masuk 15 bulan umurnya dan saya bangga dalam tempoh itu, sebahagian dari diri saya menyumbang dalam proses pembesarannya. 

Saya mahu berkongsi cerita tentang pengalaman saya membesarkan anak saya. Antara pengalaman yang saya anggap istimewa, yang melalui satu perjalanan yang agak sukar pada awalnya. 'Through blood, sweat and tears'.. 


...............................................................


Saya bukan seperti ibu-ibu muda yang gembira apabila pertama kali hamil. Pada awalnya, berita gembira itu saya terima dengan perasaan bercampur.. terkejut, risau dan takut. Kandungan yang tidak dirancang ini betul-betul buat saya terkejut. Risau adakah saya mampu jadi seorang ibu yang baik. Takut saya tidak mampu menanggung tanggungjawab besar itu. Saya terduduk di bilik air, dan mencampakkan alat ujian kehamilan yang positif itu terus ke tong sampah.

Betul. Saya bukan benci bayi saya. Saya terima dan sayang dia. Saya cuma terkejut dan betul-betul risau kerana saya tidak bersedia dari segi mental dan fizikal. 

Akibatnya, saya mengambil sikap acuh tak acuh sahaja dan berharap suatu hari nanti bila dia lahir, segalanya akan berjalan lancar dan saya akan merasa 'sempurna'.. Sama seperti ayat-ayat wanita lain yang pernah saya baca bila dikurniakan bayi "Now I feel complete..

Isu tentang penyusuan susu ibu juga saya ambil mudah. Saya fikir, apa susah? Nanti bayi tu tahulah nak hisap macam mana. Takkan ada masalah kalau nak menyusukan dia.

.................................................

Hakikat sebenarnya tidaklah seindah seperti yang kita lihat dikaca TV.. Pasangan bahagia  mengendong bayi dan tersenyum gembira hingga habis cerita. Tidak semudah itu.

Saya memang berniat mahu memberikan bayi saya segalanya yang terbaik. Bermula dari awal kehidupannya, apa yang paling utama adalah pemangkin yang membantu tumbesarannya mestilah dari yang terbaik sahaja - sudah pasti, susu ibu!

Saya tahu khasiatnya memang tak perlu nak disebutkan disini. Hanya mereka yang tidak waras saja akan kata susu lembu lebih baik dari susu manusia. Memang sudah diciptakan susu ibu itulah yang terbaik untuk bayi. 

Masalahnya, bukan senang rupanya mahu betul-betul menyusukan bayi sepenuhnya. 


......................................


Bayi saya sangat aktif dan agak sukar untuk saya suakan puting susu betul-betul ke dalam mulutnya. Akibat dari ceteknya pengetahuan tentang posisi penyusuan yang betul dan cara pelekatan mulut bayi yang tepat, saya menderita kerana puting susu yang luka.

Pedihnya tak dapat saya nak jelaskan dengan perkataan. Ditambah lagi dengan susu yang membengkak (dan mungkin juga tersumbat), saya menderita kesakitan setiap kali sesi penyusuan. Bayangkan, ketika mandi pun jika terkena air 'shower' pun saya boleh menangis, inikan pula ketika menyusukan. Saya trauma dan sentiasa berdoa agar bayi saya tidur lebih lama dan tidak perlu kerap meyusu. Setiap kali penyusuan, saya akan berdoa agar dikurangkan rasa sakit itu, pejamkan mata, tarik nafas sedalam-dalamnya dan bersedia untuk menghadapi kesakitan. Boleh dikatakan saya akan menangis sehingga kaki saya terangkat-angkat disebabkan menahan rasa pedih itu setiap kali bayi saya menyusu. Azab sungguh. Saya boleh kata yang menyusukan bayi lebih perit dari melahirkan seorang manusia.

Lebih memburukkan keadaan, bayi saya dimasukkan ke wad kritikal untuk bayi kerana demam kuningnya yang sangat serius (bacaan bilirubin nya 24.5). Saya mengalami tekanan perasaan dan menangis teruk beberapa hari. Tekanan perasaan tidak bagus untuk ibu yang menyusukan kerana akan menyebabkan aliran susu berkurangan. Sangat tepat kenyataan itu kerana cuma 1-2 titis susu yang mampu saya perah dalam keadaan saya yang teruk menangis ketika itu.

23 Jan 2009 
Beberapa jam sebelum Kimi dimasukkan ke hospital akibat Jaundis.


Sebelum dimasukkan ke wad kecemasan untuk terapi sinar  'double-ray'



.................................................................

Pulang dari hospital, saya dikejutkan oleh ibu saya sendiri apabila dia membawa pulang 1 tin susu formula untuk bayi saya. Dia bertegas, susu saya tidak cukup untuk bayi saya. Sayalah penyebab bayi saya menderita sakit kuning.

Saya tak mampu untuk menyangkal pendapatnya kerana berpendapat sebagai seorang bekas jururawat, dia mesti lebih arif tentang itu. Saya hanya mampu menahan air mata menitis melihat bayi saya diberi susu formula dihadapan mata saya.

Saya turut dimarahi dan dikatakan membuang masa sahaja kerana berusaha memerah susu sendiri dengan harapan cara itu mampu membantu membanyakkan alirannya. Sekali lagi saya menangis kerana hasil susah payah saya yang tidak sampai 1oz itu dibuangnya begitu sahaja dan tidak diberikan kepada bayi saya.

..........................................................................


Dengan tekanan perasaan yang begitu teruk itu, ditambah dengan ketiadaan suami ketika berpantang dikampung, saya nekad untuk pulang ke rumah sendiri. Saya mahu menjaga bayi saya sendiri hanya dengan bantuan suami saya.

Di rumah, keadaannya sangat berbeza kerana saya mendapat sokongan penuh daripada suami saya. Niat saya untuk terus menyusukan bayi saya semakin membara dan dengan bantuan internet, saya berusaha menambah ilmu tentang penyusuan bayi. Saya belajar sedikit demi sedikit dan terus cekalkan hati menyusukan bayi saya (walaupun ketika itu susu formula masih diberikan sekurang-kurangnya 5 botol sehari).

Ketika itu, rasa sakit ketika menyusu tidak juga hilang dan saya masih tidak faham kenapa orang kata sesi penyusuan adalah sesi yang menyeronokkan bagi ibu dan bayi. Rasa pedih seperti ditusuk beribu-ribu jarum halus menjalar dari dada ke tulang belakang hingga ke seluruh anggota tubuh, membuatkan kaki saya kejang dan kadangkala tersentak-sentak Syukurlah saya dikurniakan dengan daya tahan sakit yang tinggi dan walaupun saya menangis setiap kali menyusukan, saya tidak putus asa begitu saja.

................................................


Dengan bantuan beberapa orang rakan saya terutamanya Rai, Mai dan Zura.. saya berjaya memperolehi banyak maklumat berguna tentang penyusuan bayi yang betul dan cara-cara untuk menambah susu badan. Walaupun tidak sampai 1oz yang keluar ketika diperah (walaupun bayi saya sudah berusia 1 bulan) saya teruskan usaha untuk menjayakan misi utama saya - menyusukan bayi secara eksklusif.

Bermula dari usia bayi saya sebulan, saya mula menyusun strategi. Dari 5 botol susu formula, saya kurangkan sedikit demi sedikit. Selepas seminggu jadi 3 botol sahaja. Saya banyakkan sesi penyusuan secara langsung (direct feeding) walaupun badan saya betul-betul letih dan hilang banyak tenaga kerana bayi saya tidak berhenti menyusu. Paling kurang, 1 jam lebih dia menyusu dan saya tidak dapat buat apa-apa selain daripada mengendongnya seharian. Rupa saya jadi tidak terurus dan mungkin disalah anggap sebagai zombie yang berjalan. Selepas seminggu lagi jadi 1-2 botol. Dalam tempoh sebulan, akhirnya saya berjaya menyusukan bayi saya sepenuhnya!!

Dalam proses itu, bermacam cara saya cuba untuk menambah penghasilan susu badan. Dari menelan jus lobak putih yang  maha pahit itu, oat, horlick, susu Anmum Lacta, semuanya tidak berkesan. Akhirnya saya mencuba satu produk dari Baby Paradise, teh Milkmaid. Malam sejurus selepas saya meminum teh herba itu, saya dapat rasakan perbezaan yang ketara. Susu saya bertambah secara drastik dan saya terus mengamalkan meminumnya 2-3 kali sehari dan pada malam hari, saya gantikan teh dengan rebusan air kurma merah bersama longan kering.


Saya berjaya menyusukan bayi secara eksklusif ketika bayi saya berumur genap 2 bulan. 2 bulan pertama yang penuh cabaran itu berjaya saya atasi dengan kekuatan azam dan sokongan daripada insan-insan sekeliling saya yang amat memahami. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang terlibat.

Ajaibnya, sebaik sahaja saya berjaya menyusukan bayi saya sepenuhnya, rasa sakit ketika penyusuan beransur hilang. Selepas 2 bulan menangis ketika penyusuan, akhirnya saya mampu tersenyum gembira. Memang betul, setiap sesi penyusuan adalah saat yang paling indah buat ibu dan bayi. Bayi lebih tenang dan mudah tertidur tanpa perlu dibuai atau diberi puting tiruan. Bayi saya tidak mengalami masalah kembung perut atau muntah selepas menyusu. Dia sentiasa berbau wangi dan tidak masam dengan bau muntah seperti dulu ketika dia diberi susu formula. Apa yang paling utama, saya bangga kerana akhirnya selepas segala usaha saya membuahkan hasil. Saya bercadang untuk meneruskan penyusuan ini sekurang-kurangnya sehingga bayi saya berumur 2 tahun.

Segala masalah tentang penyusuan yang kita biasa dengar seperti susu tidak mencukupi, bayi tidak mahu menyusu badan atau apa sahaja akan ada jalan penyelesaiannya jika kita benar-benar berusaha untuk mengatasi masalah itu. Saya tahu apa yang terbaik untuk bayi saya dan saya sanggup berkorban apa sahaja untuknya. Saya harap, kisah saya ini dapat memberikan inspirasi kepada sesiapa yang membacanya dan tidak mudah berputus asa. Relaktasi itu sukar tapi boleh berlaku.




Nota kaki : Blog ini ditulis khas untuk laman web Baby Paradise.





Thursday 8 April 2010

14 bulan


Teddy Kecil saya dah besar.






Tak lama lagi saya kena panggil dia 'Teddy Besar' agaknya.
Macam pelik pula bunyinya kan?
Hehehe..

Sepanjang bulan ni memang banyak betul yang dia belajar.

  • Kimi suka dengar laungan Azan. Akan angkat takbir dan terus meniarap (sujud) jika saya sebut 'Allahuakbar'. Kalau dengar Azan dari masjid berhampiran rumah kami ni, dia akan segera hulurkan saya alat kawalan jauh dan paksa saya tukar ke siaran tv9 untuk tengok Azan. Kalau Azan habis kadang-kadang dia marah saya sebab dia ingat saya tukar siaran. Bijak betul budak ni..
  • Suka macam-macam iklan TV dan kartun terutamanya iklan yang dinyanyikan oleh suara kanak-kanak.


  • Pengangkutan utamanya sekarang adalah kereta mainan hadiah dari Auntie Ani nya (kakak saya). Kemana-mana laju saja bergerak dengan kereta tu.
  • Pandai menyuap makanan sendiri..Walaupun dah lama pandai, tapi akhir-akhir ni kurang bersepah makanannya dan banyak yang dapat masuk ke mulut.
  • Suka membaca (membelek) buku.. tak kiralah buku apa. Pagi-pagi bangun tidur dah merangkak bawakan saya buku ceritanya untuk saya bacakan. Tengahari tadi menyusu sambil membelek majalah Autocar milik Teddy. Itu salah satu majalah kegemarannya selain majalah Roda-roda.
  • Sangat-sangat sukakan kucing. Kalau nampak kucing atau dengar kucing mengiau dia akan ajuk "aaaupp.. auupp.." (Kononnya mengiau sekali la tu.. hehe)


Dia betul-betul buat saya bangga.

Pencapaiannya yang terbesar setakat ini...


6 langkah! (31 Mac 2010)

Selalunya cuma 1-2 langkah sebelum dia jatuh terduduk,
atau dia sambung dengan merangkak di lantai.


"Kimi Mommy dah pandai jalan.."


Saya tahu, mungkin agak lambat kerana banyak bayi lain sebaya dengan dia
ada yang dah boleh berlari..

Tapi saya langsung tak kisah.

Sebabnya..
walaupun saya gembira dengan pencapaian terbesarnya ini

tapi jauh disudut hati kecil saya sedih dan terharu.
Sebab.. dia bukan bayi kecil saya lagi.

Tak lama lagi bila dia dah laju berjalan,
dia akan berlari tinggalkan saya dibelakang.

1 hari nanti akan tiba,
bila dia sudah punya kawan sendiri,
mungkin dia dah tak pedulikan saya.

Oleh itu saya akan sentiasa menghargai setiap saat-saat indah ini,
selagi dia masih belum berani menapak..
ketika dia memeluk leher saya jika dia takut
ketika dia menangis minta didukung
ketika dia mengigau ketika tidur..

saat-saat dia perlukan saya ini takkan berulang
Ia akan terus berlalu dan berkadar langsung dengan edaran masa.


Saat-saat ini..
saya gembira saya sentiasa berada di samping Teddy kecil saya



p/s: Tadi kami baru pulang dari Klinik. Teddy disahkan kena demam campak.. dan Doktor kata Teddy kecil pun dah menunjukkan tanda-tanda jangkitan. Saya risau. Tolong doakan mereka cepat sembuh.. Amin..

Tuesday 6 April 2010

Cinderella





Ada kawan saya kata,

Gambar di atas ni
macam Cinderella yang tercicir kasut kaca.






Hakikatnya,
kasut tu kasut biasa saja.
Bukan dari kaca.

Sebab kalau ikutkan realiti,
Kasut kaca tak selesa dipakai.
Tak selamat. 
Kalau pecah, luka kaki tu.

Jadi saya pakai kasut biasa.
Sebab ini suatu realiti.
Bukan lagi fantasi zaman kanak-kanak saya.






p/s : Saya dah tak perlu cemburu bila pergi kenduri kahwin orang, 
tengok pengantin pakai baju cantik. 



Monday 5 April 2010

Impian saya

Sejak kecil saya memang kuat berangan..
Saya mahu jadi cantik macam puteri raja dalam kisah dongeng.
Saya mahu pakai gaun putih dengan tiara berkilauan.





Putera kacak saya..



Thursday 1 April 2010

Terima kasih


Saya agak sibuk kebelakangan ini..
Saya sedang dalam proses mengusahakan sesuatu.
Sesuatu yang berkaitan dengan projek mega saya.

Saya gembira kerana 2 daripada 3 misi tahun 2010 saya sudah terlaksana.
Saya sudah berjaya turunkan berat badan sebanyak 8kg daripada sasaran saya, 10kg.
Tinggal lagi 2kg sebelum tahun 2010 berakhir.. dan saya masih ada banyak masa lagi.
Harap-harap angka tu terus menurun dan tidak bertambah.

Projek mega-rahsia saya juga sudah berjaya direalisasikan.
Saya betul-betul gembira kerana impian saya sudah jadi kenyataan.

Jadi saya nak buat sedikit penghargaan pada mereka yang terlibat
dalam menjayakan misi saya ini


Paling utama,
Berjuta-juta penghargaan dan terima kasih untuk suami tercinta, incek Teddy.
Dia sanggup buat apa sahaja, berhabis duit untuk tunaikan impian saya.
Tak kiralah gila ke, masuk akal ke tak, cukup duit ke tak..
Dia berusaha tunaikan semuanya.

Saya beruntung dapat dia.


"Terima kasih, sayang.."


Kemudian,
untuk Teddy kecil saya.

"Terima kasih sebab berikan Mommy kerjasama kamu.
Tanpa itu, projek Mommy ini takkan sempurna.
Mommy sayang Kimi sangat-sangat!"




Seterusnya terima kasih kepada..
(rasa macam bagi ucapan untuk Anugerah Bintang Popular pula)

  • Emma kerana mengembalikan harapan dan memudahkan jalan untuk saya melaksanakan misi ini. Terima kasih kerana memperkenalkan saya kepada Nik.
  • Nik kerana telah 'membaca fikiran saya' dan menyediakan produknya yang sangat menepati citarasa saya. Saya betul-betul gembira dan puas hati dengan itu.Kalau suruh bayar lebih pun saya tak kisah. (Teddy kisah kot, sebab guna duit dia. hahahahaa)
  • Sahabat karib juga teman sejati saya sejak darjah 1 lagi, Elyana kerana menggunakan kemahirannya yang sangat hebat demi menghasilkan sesuatu yang amat indah. "Kita sayang awak, Ely!!"
  • Kawan akrab dan juga merupakan teman sejati sejak dari darjah 1 Biru, cik (yang bakal menjadi Puan) Shufarah kerana membantu dan menggunakan kebolehan semulajadinya dalam 'menjinakkan' Teddy kecil saya. "Kau memang hebat, Shu! Bukan calang-calang orang dapat pegang budak tu.."
  • Kakak saya kerana membantu menyumbang tenaganya untuk menjayakan misi saya ini.
  • ..dan mereka-mereka yang terlibat. Minta maaf kalau tak tersebut di sini. Sumbangan anda semua amat-amat saya hargai. Terima kasih semua..



Related Posts with Thumbnails