Thursday 20 May 2010

SAHM - Stay At Home Mom (Bahagian 2)




Klik sini untuk Bahagian 1



Tulisan saya sebelum ni tentang kenapa saya mahu jadi seorang SAHM. Kali ni saya mahu menulis tentang keburukan dan kebaikan pilihan saya ini. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri dan tidak semestinya tepat pandangan saya ini untuk semua pihak.

Biasanya orang akan mulakan dengan keburukan dahulu. Untuk tidak menakutkan sesiapa, saya akan selitkan dengan cara mengatasi masalahnya sekali.


Keburukan 1 : Selamat tinggal kehidupan sosial.

Jika anda seorang yang sosial dan suka berpoya-poya (seperti saya), topik ini akan menjadi keburukan utama jika anda memilih untuk menjadi seorang SAHM. Ada beberapa pecahan kecil bagi menyokong fakta di atas.


1.1 - Filem terakhir yang anda lihat dipawagam adalah Batman, The Dark Knight dan anda tidak kenal siapa itu Edward Cullen.

1.2 - Anda rasa gatal-gatal tekak kerana lama tidak berkaraoke.

1.3 - Anda cuma boleh berada di kedai mamak sebelum pukul 12mlm dan bergegas pulang apabila ada disusuli dengan jeritan nyaring yang memalukan.

1.4 - Anda tidak di tag di Mukabuku (Facebook) apabila kawan-kawan lama anda (yang masih belum berkahwin) membuat rancangan untuk minum-minum di Hartamas. Perlu diingat, anda sudah lama terkeluar dari kelab mereka selepas anda berkahwin. Kini anda hanya diterima dalam kelab ibu-ibu sahaja.

1.5 - Anda tidak boleh berjumpa dan duduk bersembang lama-lama dengan sahabat karib anda di kedai kopi kerana suami anda sudah menjeling (atau diiringi jeritan nyaring halus itu). Mungkin juga anda akan terasa semakin jauh dan terasing dengan sahabat anda sendiri apabila anda tidak faham dengan gosip dan cerita mereka.

1.6 - Anda boleh pengsan apabila rumah anda tiada bekalan elektrik kerana kehidupan anda 100% bergantung kepada television dan internet sebagai sumber hiburan. (Kebetulan telefon anda juga kehabisan bateri)




Cara mengatasinya


Menjadi SAHM, anda telah membuat keputusan yang besar dalam kehidupan anda. Maknanya jelas - Ibu Yang Tinggal di RUMAH. Bermakna, kehidupan sosial itu memang terpaksa dikorbankan.

Pasrah mungkin cara yang terbaik tetapi itu mungkin menyebabkan tekanan jiwa kerana anda tidak mempunyai saluran yang betul untuk menyalurkan ketidak-puasan hati anda sendiri.

Seperti saya, tidak dinafikan kadang-kala jiwa memberontak juga ingin lari dari kepungan rumah sendiri tetapi saya masih mampu berfikir dengan waras. Ini pilihan saya sendiri dan saya memilih untuk kekal gembira dengan corak kehidupan yang telah saya pilih.

Antara perkara-perkara yang saya lakukan untuk kekal gembira;

1.1 - Panggung wayang dan pusat karaoke pada saya bukanlah tempat yang mesra bayi. Ada banyak lagi tempat keluarga untuk saya pilih. Melihat anak saya ketawa gembira di padang permainan adalah satu perkara yang amat menghiburkan hati saya. Tak apalah saya terlepas dari menonton filem-filem hebat tu.

1.2 - Duduk berjam-jam dikedai mamak sambil minum segelas air adalah perkara yang hampir mustahil untuk dilakukan kerana anak saya akan mengamuk kebosanan. Biasanya kalau makan diluar pun kami akan menghabiskan makanan cepat-cepat dan beredar bila ada tanda-tanda bosan pada wajah anak saya. Sebab tu saya selesa makan dirumah dan saya tidak terlepas apa-apa yang seronok pun dari itu. Kehidupan bujang yang melepak hingga larut malam tidak membuatkan saya teruja selepas bergelar ibu.

1.3 - Hampir setiap hujung minggu kami sekeluarga akan keluar berjalan-jalan dan pergi bercuti setiap 3-4 bulan sekali untuk memastikan saya tidak cuba membakar rumah sendiri akibat kebosanan.

1.4 - Kehidupan sosial bersama rakan-rakan terutama yang masih bujang memang agak sedikit terjejas. Lumrah kehidupan kerana saya ada keperluan yang lebih penting untuk dipenuhi dan tanggungjawab yang lebih berat untuk dipikul. Terus-terang disini, saya juga ingin memohon maaf kepada kawan-kawan saya yang membaca tulisan saya ini kerana saya bukan diri saya yang dulu.

Saya tidak boleh keluar bergembira dengan kawan-kawan saya tanpa suami dan bayi saya. Itu satu kemestian yang tidak boleh ditolak. Sebabnya, saya seorang SAHM. Saya seorang yang menjaga bayi saya selama ini dan jelas yang bayi saya tidak boleh ditinggalkan dengan orang lain. Lagipun, saya tidak mempunyai penjaga bayi dan tiada siapa termasuk ibu saya yang mahu menjaga bayi saya. Masalah terbesarnya, dia bergantung sepenuhnya dengan saya. Dia masih lagi menyusu badan secara terus (direct BF) dan tidak pandai langsung menggunakan botol susu. Saya tiada masalah dengan itu kerana itulah yang membuatkan ikatan antara kami semakin kuat. Di mana ada saya, di situ juga mesti ada dia.

Suami saya juga mesti ada bersama kerana dia banyak membantu menjaga bayi kami. Lagipun, tanpa dia tak mungkin saya dapat bersembang dengan aman apabila bayi mula meragam.

Ini satu perkara yang agak sedih untuk saya korbankan kerana saya memang sayangkan semua kawan-kawan saya. Cara mengatasinya, saya akan pastikan saya terus berhubung dengan mereka dengan apa saja cara sekalipun. Telefon, sms, Mukabuku , YM dan blog. Mungkin kami tidak dapat berjumpa tapi saya akan pastikan saya ambil tahu tentang kehidupan mereka.

Alhamdulillah setakat ni kawan-kawan saya amat memahami dan terima kasih banyak-banyak kerana menerima saya seadanya. Saya betul-betul beruntung punya ramai kawan yang prihatin seperti ini. Mereka jugalah yang banyak memberikan saya kekuatan dan sokongan mental selama ini. Terima kasih.




..bersambung..

4 stalker (s):

  • Queen

    saya bekerja...tapi still takde masa lepak dgn kawan2 ke ape ke....

    sebab setiap masa adalah dgn hubby sahaja..dan lepak rumah lagi best..sape nak lepak2..jom lepak rumah saya..itu takpe....saya sanggup masak buat makan2 biasa2 setakat keropok ciciah sos dan teh O suam..saya tak kesah..asalakan saya boleh duk umah..

  • Ilyana

    kalo nik ni jenis yg homey, takkan ada problem ni la. saya dulu ni suka berpoya-poya. hihihii.. jd agak stress duduk di rumah.

    tp skarang dah sedar yg dok lepak2, mkn2 dirumah, ajak kwn2 mkn kat rumah adalah sgt best. meh gi rumah saya lak Nik!! hihi

  • Diana AR

    Apapun keputusan yang kita buat insyaallah ada hikmahnya..jangan rasa stress..cari bahagia dgn cara tersendiri..

  • Ilyana

    Betul tu.. Byk cara untuk sentiasa rasa bahagia. ;)

Related Posts with Thumbnails